Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar meraih durian runtuh AS$50,000 (RM220,000) susulan kejayaan terbarunya dalam saingan ONE Championship baru-baru ini.
Selepas tewas kepada jaguh Muay Thai dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam ONE 167 pada Jun lalu, jaguh berusia 17 tahun itu berazam untuk bangkit meraih kemenangan.
Keazaman itu semakin membara apabila ada pihak tertentu yang memperkecilkan peluang Johan berdepan wakil Mexico, Josue Cruz dalam pertarungan pada 7 September itu.
“Anda tahu, dalam hidup, kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah. Jangan nilai saya atas kemenangan saya, nilai saya tentang bagaimana saya kembali bangkit daripada kekalahan saya,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan bersama Nick Atkins baru-baru ini.
Dan itu dibuktikan Johan dalam gelanggang apabila berdepan jaguh berusia 28 tahun itu. Jaguh muda yang mesra disapa Jojo itu berjaya menewaskan Cruz dalam pusingan pertama ONE 168.
Kejayaan itu membolehkan Johan menerima bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM220,000) daripada CEO ONE Championship, Chatri Sityodtong. Kemenangan ini turut menyaksikan Johan kini memiliki rekod 6-1 dalam gelanggang.
Selain Johan, Adrian Lee, Johan Estupinan, John Lineker, Seksan Or Kwanmuang dan Superlek Kiatmuu9 turut menerima bonus prestasi sama. Ini selepas kelima-lima jaguh Muay Thai itu berjaya memenangi pertarungan masing-masing.