Advertising
Johan Kamal: Beraksi Di Indonesia Bukan Mudah
MakanBola
Selangor FC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengakui Selangor bakal berdepan cabaran besar di Indonesia disebabkan semangat yang ditampilkan penyokong negara itu.

Selangor bakal menyertai kejohanan antarabangsa RCTI Premium Sports yang berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 30 Mei hingga 2 Jun.

Ad

Kejohanan ini menyaksikan penyertaan Selangor, Persija Jakarta, PSIS Semarang dan Sabah FC. Sabah dipilih sebagai pasukan alternatif selepas pasukan sebelumnya, Hanoi FC memilih tidak mengambil bahagian.

Ad

Dr Johan mengakui kejohanan ini bakal memberi pendedahan yang baik kepada pasukan Merah Kuning.

Ini kerana selain berpeluang menghadapi pasukan berkualiti, Selangor bakal berdepan suasana stadium yang meriah terutama sokongan padu pemain ke-12 Persija dan Semarang.

Ad

Beliau melihat atmosfera perlawanan yang hebat yang ditimbulkan penyokong Indonesia mampu menakutkan mana-mana pasukan yang bertandang.

Ad

Justeru, Dr. Johan berharap Selangor dapat menunjukkan perwatakan dan kualiti mereka apabila saingan RCTI Premium Sports membuka tirai pada penghujung bulan ini.

Ad

“Sudah pasti bila kita bermain di Indonesia, kita mahu menang. Indonesia rakan paling baik sekali bersama Malaysia, jiran kita yang peramah. Jadi, kita akan lakukan yang terbaik. Kita mahu berbanggalah kalau kita dapat menang di Indonesia.

“Tetapi cabarannya amat besar dari segi kualiti (macam) PSIS Semarang dan Persija. Tapi macam saya katakan, penyokongnya luar biasa. Untuk pemain-pemain yang datang ke stadium di Indonesia, itu bukan satu cabaran mudah.

“Ianya menakutkan, pemain ke-12 Indonesia sangat luar biasa. Kami rasakan ini pengalaman luar biasa buat para pemain, jurulatih dan pasukan. Kerana aura ini hanya di Indonesia saja kita dapat.

“Jadi, kita tidak sabar untuk menyertai kejohanan, satu pendedahan yang baik kepada Selangor Insya Allah,” katanya dalam sidang media kejohanan yang diadakan pada hari ini.

Pemenang kejohanan bakal mendapat hadiah wang berjumlah AS$30,000 (RM142,000). Sementara naib juara bakal menerima hadiah wang berjumlah AS$15,000 (RM71,000).

Manakala pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima hadiah wang berjumlah AS$10,000 (RM47,000) dan AS$5,000 (RM23,000).

Selangor bakal membuka tirai cabaran Liga Malaysia (Liga M) menerusi aksi Piala Sumbangsih pada Jumaat ini.

Perlawanan tersebut bakal menemukan mereka dengan pemenang empat trofi Liga M musim 2023, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).