Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon yakin pasukan Selangor akan tampil lebih baik dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Dr. Johan pada Majlis Hari Jersi Selangor 2023 yang diadakan di SACC Mall hari ini menjelaskan bahawa pasukan gergasi Merah Kuning tetap fokus kepada misi untuk layak ke pentas Asia. Menurutnya, persiapan pasukan ketika ini berjalan dengan sangat lancar.
“Sasaran kita masih untuk ke Asia. Setakat ini sasaran ini masih belum lagi tercapai jadi kita akan fokus untuk ke Asia. Untuk ke Asia itu boleh jadi dari Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia.”
Beliau dalam pada itu juga percaya pasukan Selangor akan tampil lebih garang berbanding tahun-tahun sebelum ini. Bagaimanapun Johan Kamal akui untuk dominasi bola sepak di Malaysia seperti pasukan Johor Darul Ta’zim ternyata masih jauh.
“Saya percaya kita (Selangor) boleh jadi lebih baik tahun ini. Tapi nak hentikan dominasi JDT itu jauh lagi,” ujar Johan.
Dengan kehadiran beberapa muka baharu yang berjaya ditandatangi Selangor tahun ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe dilihat menjadi antara pasukan pilihan yang berpotensi menerajui takhta Liga Super 2023.
Mereka kini sedang giat berlatih sebagai persediaan menjelang aksi pra-musim dalam kejohanan Piala Harapan 2023 di Pulau Pinang.
Pasukan gergasi Merah Kuning juga akan terbang ke bumi Thailand bagi mengharungi beberapa siri persahabatan disana sebelum sepak mula perlawanan pertama saingan Liga Super 2023 pada 26 Februari menentang Kelantan United.