Bek Harimau Malaya, Jon Irazabal dan kelab dari Azerbaijan, Sabah FK rasmi berpisah hari ini.
Pengumuman ini dibuat menerusi sebuah hantaran di laman media sosial Sabah FK yang mengucapkan terima kasih dan salam perpisahan kepada Jon Irazabal sepanjang 3 tahun di sana.
Perpisahan Jon Irazabal dan Sabah ini berlaku disebabkan oleh berakhirnya kontrak pertahanan berusia 28 tahun itu sekaligus mengakhiri perjalanan bersama sejak tahun 2022 lagi.
”Sejak 2022, Jon Irazabal telah menyarung jersi skuad Sabah namun dengan tamatnya kontrak pada akhir musim ini, kami secara rasmi berpisah dengan beliau,” umum pihak kelab.
”Jon yang dihormati, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Semoga berjaya dalam kerjaya anda!”
Untuk rekod, Jon Irazabal telah merekodkan 98 penampilan bersama Sabah dan menjaringkan 6 gol dan melakukan dua bantuan jaringan untuk pasukan gergasi Azerbaijan tersebut.
Irazabal juga sempat merasai kejuaraan Piala Azerbaijan yang dimenangi oleh Sabah FK pada 31 Mei lalu selain membantu kelab itu muncul naib juara dan tempat ke-3 Liga Azerbaijan.
Kini, masa hadapan Jon Irazabal menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan sama ada bakal terus berkelana di luar negara atau beraksi di Liga Malaysia seperti yang dilaporkan sebelum ini.