Jordan Pickford Diintai Tiga Kelab Gergasi EPL
EPL
The Football Express
Advertisements

Jordan Pickford ketika ini merupakan penjaga gol utama Everton. Tetapi kegagalan Toffees memuktamadkan kontrak baru lima tahun untuk penjaga gol England itu telah menarik perhatian tiga kelab utama EPL iaitu Manchester United, Chelsea dan Tottenham Hotspur.

Pickford sebelum ini menyatakan kesudian untuk memperbaharui kontrak bersama Everton. Malah, hal ini turut disuarakan oleh pengurus Frank Lampard dengan harapan ia dapat diselesaikan sebelum dia menyertai skuad England untuk Piala Dunia 2022. Namun begitu, itu tidak berlaku apabila kontrak baru yang dimeterai tidak disahkan oleh lembaga pengarah.

Dengan perkembangan ini, kontrak Pickford di Goodison Park kini berbaki 18 bulan. Dan itu menarik perhatian ketiga-tiga kelab di atas yang melihatnya sebagai solusi terbaik untuk jabatan penjaga gol mereka.

Advertisements

Spurs yang dibimbing Antonio Conte melihat Pickford sebagai pengganti jangka panjang penjaga gol mereka, Hugo Lloris. Penjaga gol Perancis itu kini berusia 36 tahun dan kelab pastinya tidak mahu tercari-cari siapa yang boleh dijadikan sebagai pemegang jersi nombor satu sekiranya Lloris mengumumkan persaraan.

United pula melihat Pickford sebagai pengganti jangka panjang David de Gea. Walaupun menunjukkan prestasi baik di bawah bimbingan Erik ten Hag, kontraknya bakal tamat pada akhir musim dengan kelab tiada minat untuk menawarkan kontrak baru kepada bekas penjaga gol Atletico Madrid itu. Selain Pickford, Red Devils turut dikaitkan dengan Diogo Costa dan Unai Simon.

Manakala Chelsea yang dibimbing Graham Potter dilihat tidak mempunyai keyakinan terhadap dua penjaga gol mereka, Kepa Arrizabalaga dan Edouard Mendy. Mendy mengalami kemerosotan prestasi musim ini sebelum disingkirkan ke bangku simpanan. Sementara Arrizabalaga pula walaupun menunjukkan peningkatan, dianggap tidak konsisten sebagai penjaga gol utama.

Advertisements

Pickford telah merekodkan 214 penampilan bersama Toffees selepas menyertai mereka dengan nilai £30 juta. Graduan akademi Sunderland itu turut menjadi penjaga gol kepercayaan pengurus England, Gareth Southgate pada Piala Dunia 2018, EURO 2020 dan Piala Dunia 2022.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram