Pengurus legenda Portugal, Jose Mourinho dilaporkan akan kembali ke Real Madrid sebagai jurulatih buat kali kedua.
BBC Sport melaporkan Mourinho kini dalam fasa akhir rundingan dengan pengurusan Los Blancos bagi memuktamadkan kontrak.
Real Madrid hanya perlu membayar klausa sebanyak tiga juta euro (RM14 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.
Sekiranya semua berjalan lancar, bekas pengurus Manchester United itu akan kembali ke Bernabeu selepas menguruskan pasukan itu dari 2010 hingga 2013.
Ini sekaligus menyaksikan perlawanan menentang Estoril berpotensi menjadi perlawanan terakhirnya sebagai pengurus kelab gergasi Portugal, SL Benfica.
Khidmat Mourinho kembali ditagih Real Madrid bukan saja untuk menamatkan kemarau trofi pasukan itu selama beberapa musim.
Malah, presiden kelab, Florentino Perez melihat beliau sebagai orang terbaik untuk memulihkan semula disiplin dan keharmonian dalam bilik persalinan pasukan itu.
Isu disiplin dan pertelagahan sesama pemain Los Blancos bukan sekali menjadi bahan berita media Sepanyol. Kemuncaknya ialah pergaduhan antara Federico Valverde dan Aurelien Tchouameni di pusat latihan pasukan itu baru-baru ini.
Semasa bersama Real Madrid buat kali pertama, Mourinho membantu pasukan itu bergelar juara La Liga, Copa del Rey dan Spanish Super Cup.