Advertisement
Josko Gvardiol Versi Malaysia Telah Ditemui
Harimau Malaya
MakanBola
FAM/ AFP/ Paul Ellis

Umum mengetahui, Terengganu FC berjaya mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2023 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) di separuh akhir. Mereka bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merupakan juara bertahan.

Namun disebalik kemaraan Terengganu ke final, ada beberapa tonggak Sang Penyu yang menjadi nadi utama pasukan. Salah seorangnya adalah pemain pertahanan muda berbakat besar, Ubaidullah Shamsul.

Gandingan Ubaidullah dan Shahrul Nizam di posisi pertahanan tengah nyata memberikan dimensi berbeza dalam mempertahankan benteng Terengganu dari dibolosi. Melengkapkan barisan pertahanan Terengganu adalah Azam Azmi di pertahanan kanan dan Alif Zakaria di pertahanan kiri.

Pembantu jurulatih Terengganu FC, Ivica Vranjes memuji aksi Ubaidullah yang dilihat semakin matang corak permainannya. Jurulatih dari Croatia itu juga menganggap Ubaidullah adalah emas tulen bagi bola sepak Malaysia selain menyamakan Ubaidullah dengan bintang Manchester City, Josko Gvardiol.

“20 tahun. Kekuatan. Kawalan. Keupayaan teknikal, keagresifan dan daya tahan yang paling penting dalam membentuk motivasi. Emas tulen bola sepak malaysia, jangan tunggu umur 30 tahun baru nak mengasahnya.

“Jika anda tidak tahu caranya, tanya jurulatih TFC. Josko Gvardiol Malaysia. Ayuh teruskan Ubai,”coret Vranjes di laman Facebook beliau.

Bagi musim 2023, Ubaidullah telah beraksi bersama skuad senior Terengganu FC dan juga Terengganu FC II yang beraksi di Piala MFL. Setakat ini, Ubaidullah telah mengumpul 9 penampilan bersama Terengganu FC dan 15 penampilan untuk Terengganu FC II.