Jude Bellingham Hampir Dihantar Ke Ukraine Kerana Tersalah Naik Bas

Jude Bellingham England Jude Bellingham Hampir Dihantar Ke Ukraine Kerana Tersalah Naik Bas
England
Azim Noor @mohdazim45
12:04pm 12/09/2023

Bintang muda England, Jude Bellingham buat pengguna media sosial tak kering gusi selepas tersilap menaiki bas pasukan Ukraine.

Bellingham merupakan sebahagian daripada skuad Three Lions yang diikat 1-1 dengan Ukraine dalam aksi kelayakan EURO 2024 di Poland pada awal pagi 10 September lalu.

Selain seri, Bellingham juga nyaris-nyaris menaiki bas ke hotel penginapan yang digunakan pasukan dari Eropah Timur itu.

Selepas tamat perlawanan, bekas bintang akademi Birmingham City itu terus keluar dari stadium dan menaiki bas tanpa menyedari itu bukan bas skuad England.

Namun begitu, sebaik menyedari pemain Ukraine sudah berada di tempat duduk, Bellingham tersipu-sipu membuat pusingan U dan keluar dari bas. Setelah itu, beliau melambai kepada penyokong sebelum menaiki bas Three Lions.

Di media sosial, ramai geli hati dengan telatah bekas jeneral tengah Borussia Dortmund itu. Pada masa sama, ramai berharap Gareth Southgate memberi peluang kepadanya sebagai nadi pasukan.

Selepas berpindah ke Real Madrid musim ini, Bellingham sudah merekodkan lima gol dan satu bantuan gol. Sekiranya kecemerlangan ini diteruskan, tidak mustahil namanya akan lebih kerap membarisi kesebelasan utama England.