Jurulatih baharu Juventus, Luciano Spalletti dilihat mungkir janji dengan menerima tawaran melatih kelab gergasi Itali itu.
Ini kerana bekas pengendali skuad kebangsaan Itali itu pernah menyatakan Napoli menjadi kelab terakhir yang dilatihnya di negara itu.
“Saya mahu jadikan Napoli sebagai kelab terakhir atas sebab yang spesifik. Sudah tentu saya tak boleh melatih satu lagi pasukan di Itali,” katanya seperti dilaporkan Talksport.
“Bila anda berada dalam konteks tersebut, merasai pengalaman perlawanan sebagai jurulatih dan menyarung jersi Maradona, sangat sukar untuk kembali sebagai lawan.”
Atas sebab itulah, sebaik La Vecchia Signora mengumumkan Spalletti sebagai jurulatih baharu mereka, ia mengundang rasa tidak puas hati sesetengah penyokong Napoli.
Kumpulan penyokong Anima Azzurra melabel jurulatih berusia 66 tahun itu sebagai pengkhianat kepada Napoli.
“Memalukan kerana anda palsu, memalukan kerana anda pengkhianat. Memalukan kerana anda tidak pernah memahami cinta kami sepenuhnya,” kata kumpulan tersebut dalam satu hantaran di Instagram.
Spalletti pernah melatih Napoli dari 2021 hingga 2023. Musim terakhirnya bersama kelab itu menyaksikan beliau meraih gelaran juara Serie A.
Juventus memilih Spalletti sebagai jurulatih baharu menggantikan jurulatih sebelumnya, Igor Tudor. Legenda Juventus itu dipecat susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu.
Meskipun kelab itu kini menduduki tangga ketujuh Serie A, Spalletti melihat Juventus berpeluang meraih gelaran juara pada akhir musim.
Beliau menyertai kelab itu dengan kontrak sehingga akhir musim 2025/26. Sekiranya Juventus layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan, kontrak Spalletti akan dilanjutkan.