Ketua jurulatih Bali United, Stefano Cugurra mula berbicara tentang lawannya di Piala AFC, Terengganu FC.
Pengendali berpengalaman itu kini dalam momentum terbaik selepas berjaya membenam cabaran Persikabo 1973 dengan keputusan 2-0.
Beliau menyatakan keterujaan untuk melihat motivasi anak buahnya pada tahap yang terbaik sebelum melangkah ke kejohanan berprestij tersebut.
Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Brazil itu berpuas hati apabila anak buahnya berjaya mencatatkan rekod tanpa bolos buat kali pertama selepas beberapa perlawanan.
Sambil itu, Cugurra juga waspada dengan lawannya dari Malaysia yang dikatakan memiliki kualiti tersendiri apabila bertandang ke tempat lawan.
Kemenangan berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners telah membuka mata Bali United tentang kekuatan sebenar skuad Peteh.
“Ya seperti yang pernah saya katakan, Terengganu merupakan sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki rekod yang bagus di laman sendiri.”
“Kita (Bali United) juga memiliki kualiti tersendiri. Kita menang di Filipina dan rentak itu akan dibawa apabila beraksi di laman sendiri,” ujarnya kepada MakanBola.
Beliau juga menagih sokongan padu daripada seluruh warga Bali untuk membantu pasukan beraksi lebih baik pada 4 Oktober ini.
Bali United merekodkan dua kemenangan, dua kekalahan dan satu keputusan seri dalam 5 aksi terakhir selain kini menghuni tangga ke-6 Liga 1 Indonesia.