Ketua jurulatih BG Pathum United, Masatada Ishii mengesan kelemahan ketara anak-anak buahnya ketika turun berdepan Selangor dalam perlawanan Shopee Cup pada Rabu.
Pertembungan antara Selangor vs BG Pathum di Kelana Jaya berakhir dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan pembukaan oleh Faisal Halim sebelum Richmond Ankrah tertampan bola ke gawang sendiri.
Perlawanan tersebut tampaknya lebih dikuasai oleh pasukan pelawat sebaik sahaja Selangor terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Alvin Fortes dilayangkan kad merah di minit ke-27.
Pelbagai serangan dilancarkan oleh BG Pathum ke arah pintu gol Selangor demi memastikan misi wajib menang terlaksana namun gawang Gergasi Merah kebal sepanjang 90 minit aksi berlangsung.
Menurut Masatada Ishii, kelemahan para pemain BG Pathum adalah amat ketara di jentera serangan apabila mereka gagal untuk mengambil deretan peluang terhidang bagi memburu gol.
“Ini (ketajaman penyudah) sesuatu yang kami perlu tambah baik terutamanya bagi memastikan setiap serangan berakhir dengan jaringan,” kata Masatada Ishii ketika sidang media.
”Jadi, itu adalah kelemahan terbesar kami malam ini selepas kami gagal menyudahkan setiap peluang bagi menghasilkan jaringan,” ujar pengendali dari Jepun itu melalui penterjemah beliau.
Keputusan seri ini memaksa BG Pathum United balik hampa apabila mengakhiri aksi peringkat kumpulan A di tangga ke-3, sekaligus terlepas tempat ke separuh akhir Shopee Cup.
Manakala, Selangor pula berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Shopee Cup dalam penampilan pertama mereka selain mengiringi Buriram United yang mara selaku juara kumpulan A.