Jurulatih Croatia: VAR Bunuh Emosi
MakanBola
HNS

Pengendali Croatia, Zlatko Dalic menyifatkan sistem bantuan video pengadil (VAR) merosakkan emosi pemegang taruh bola sepak terutama pemain dan penyokong.

Kenyataan itu dibuat beliau selepas melihat pasukannya tersingkir di pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia. Croatia terlepas peluang mara ke pusingan seterusnya apabila tewas 2-1 kepada Portugal.

Bekas naib juara edisi 2018 itu menyangka mereka dapat mengheret perlawanan ke masa tambahan menerusi gol pemain pertahanan Manchester City, Josko Gvardiol.

Meskipun begitu, gol tersebut kemudiannya dibatalkan oleh VAR. Ini kerana VAR mendapati bola hantaran Mario Pasalic terkena Igor Matanovic sebelum disudahkan Gvardiol.

Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati Dalic terhadap mutu pengadilan dan VAR. Ini beliau mendakwa VAR merosakkan emosi semua pemegang taruh bola sepak dengan menggugat detik-detik sebegini.

“Anda dapat lihat sejauh mana emosi (pemain dan penyokong) yang dimusnahkan dan secara bersama, semua keputusan ini mengejutkan anda dan mengambil kegembiraan daripada bola sepak.

“Saya tak kata kadang-kadang VAR tidak membantu tetapi ia membunuh emosi, ia membunuh semuanya. Ia membunuh semua perkara yang anda rasai dan itu bukan mudah untuk hadapi dengan semua ini,” katanya seperti dilaporkan Daily Express.

Meskipun begitu, komen pedas Dalic berpotensi dikenakan tindakan disiplin oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ini kerana sebarang kritikan terhadap mutu pengadilan kejohanan itu boleh menyebabkan beliau bukan saja dikenakan amaran tetapi juga denda oleh badan induk itu.

Aksi ini juga berpotensi menjadi aksi Piala Dunia terakhir buat jeneral tengah veteran dan kapten Croatia, Luka Modric.

Meskipun beliau belum memutuskan tentang masa depannya bersama pasukan Eropah Timur itu, ramai penyokong menjangkakan ini saingan Piala Dunia terakhirnya.