Pengendali Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris enggan memandang rendah cabaran pendatang baru Liga A1 Semi Pro, UiTM United.
Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan dua juara liga musim 2023 yang dikelolakan oleh Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
Imigresen memegang status sebagai juara Liga A1 Semi Pro musim lepas. Sementara UiTM United pula berstatus juara Liga A2 Amateur atau nama lamanya Al-Ikhsan Cup musim 2023.
Meskipun dilabel pasukan pilihan menjelang perlawanan esok, Mat Zan enggan memandang enteng cabaran anak buah Mohd Yazli Yahya itu.
Ini kerana meskipun berstatus pendatang baru dalam liga, pasukan yang diberi jolokan The Lions itu pastinya ingin memburu kemenangan dalam aksi pembukaan liga.
Justeru, Mat Zan melihat pasukannya perlu tampil bersedia demi mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi pada musim lepas.
“Kita sebenarnya tidak tahu kekuatan pasukan lawan (UiTM United), yang penting pasukan perlu bersedia untuk hadapi mana-mana pasukan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro ini.
“Kalau kita lihat mereka layak selepas menjuarai Liga Al Ikhsan musim lalu, mesti ada kelebihan, jadi kita kena sediakan pasukan untuk berdepan lawan,” katanya.
Meskipun kehilangan penjaring terbanyak musim lepas, Abdul Azim Rahim kepada Melaka FC, Imigresen masih memiliki ramai tonggak berwibawa.
Antara pemain yang bakal menjadi sandaran The Mighty Lions ialah Nasriq Baharom, Hafiz Kamal, Ashmawi Yakin dan Abdul Halim Zainal.
Imigresen bakal turun menentang UiTM United di Stadium UiTM esok pada jam 8.45 malam.