Satu lagi pencapaian membanggakan oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila pembantu jurulatih, Ramiro Gonzalez diiktiraf program kejurulatihan Real Madrid.
Menerusi perkongsian oleh laman Johor Southern Tigers, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan tahniah kepada pembantu jurulatih Ramiro Gonzalez selepas dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang oleh Real Madrid Graduate School.
Hal ini selepas beliau berjaya untuk melengkapkan program Master’s in Football Management and Methodologies of the Game.
Pengendali muda berusia 33 tahun itu sudah menjadi jurulatih JDT sejak 2021 dipuji berdasarkan kecemerlangan akademik, penglibatan yang aktif, kepimpinan dan minat mendalam terhadap bola sepak.
“Dedikasi anda, usaha, komitmen dan minat kepada bola sepak sangat terserlah sepanjang program Master ini.
“Kebolehan teknik pemikiran analitikal, kepimpinan, kerjasama dan ‘decision-making’ telah menjadikan anda contoh kepada rakan-rakan lain dan juga sebagai pelajar cemerlang,” menurut surat dari Pengarah Program, David Viejo Romero.
Ramiro akan menghadiri majlis graduasi di Stadium Santiago Bernebeu pada Julai ini.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim terutama kepada Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail atas sokongan yang tidak ternilai sepanjang pengajian beliau dalam program Master ini.”