Pengganti Tan Cheng Hoe untuk kerusi panas ketua jurulatih Harimau Malaya masih menjadi tanda tanya namun media mula membuat spekulasi Kim Pan-gon sebagai calon yang dimaksudkan.
Beliau yang sebelum ini pernah menewaskan Malaysia ketika mengemudi skuad kebangsaan Hong Kong pada tahun 2012 – 2017 mempunyai pengalaman luas menguruskan beberapa kelab besar di Korea Selatan.
Walaupun identiti sebenar pengendali Korea Selatan tersebut tidak dapat disahkan, sumber dalaman FAM mendedahkan salah seorang jurulatih Korea tersebut mengenakan beberapa syarat kepada badan induk bola sepak Malaysia tersebut.
Seperti yang dilaporkan Abdul Hafiz Ahmad (Bebas News), menurutnya jurulatih Korea mewajibkan FAM membawa masuk 3 orang penolong warga Korea Selatan selain menetapkan tangga gaji yang masih dirahsiakan sumber berkenaan.
“Warga Korea Selatan ini telah meletakkan syarat untuk membawa sekumpulan tiga orang penolongnya jika menerima tawaran melatih Harimau Malaya.
“Namanya masih belum boleh didedahkan, begitu juga angka gaji yang bakal diperolehnya,” jelas individu terbabit kepada BebasNews.
Selain itu sumber tersebut menjelaskan bahawa FAM tertarik dengan budaya kerja warga Korea Selatan selain pernah mengadakan satu sesi lawatan ke Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) pada tahun 2018.
Sementara itu Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dijangka akan memberikan bayangan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya pada satu sesi soal jawab bersama media pada Jumaat ini di Petaling Jaya.