Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kyrgyzstan telah mengumpul maklumat lengkap tentang kekuatan sebenar pemain Malaysia menjelang sepak mula Kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan pembukaan peringkat kumpulan itu menjadi detik penting buat anak didik Kim Pan-gon dalam misi memburu tiga mata pertama.
Persiapan rapi pasukan lawan terutamanya selepas mendapat sentuhan 12 pemain utama kembali menyemarakkan saingan skuad ke-96 dunia ini menentang Harimau Malaya.
Menerusi satu kenyataan oleh ketua jurulatih, Stefan Tarkovic, barisan kejurulatihannya sudah meneliti segala aspek sebagai persediaan menentang Malaysia termasuklah mengumpul data lengkap pemain Malaysia.
“Latihan kami berlangsung di Kuala Lumpur (Malaysia), yang saya fikir akan membantu kami menyesuaikan diri dengan lebih baik dengan cuaca, suhu dan kelembapan yang tinggi.”
“Teras pasukan adalah stabil dan dibina dari semasa ke semasa, tetapi ia mempunyai kekuatan dan kelemahannya. Kami mempunyai semua maklumat yang kami perlukan mengenai pemain Malaysia dari perlawanan sebelumnya, tetapi saya akan menyimpannya untuk persiapan taktikal yang akan berlangsung dalam latihan,” jelasnya.
Malaysia akan berdepan Kyrgyzstan pada 16 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sambil Presiden FAM, Dato’Hamidin Mohd Amin menekankan kepentingan beraksi sehabis baik untuk memperoleh tiga mata.
“Kelayakan Piala Dunia ini amat penting buat Malaysia. Kita bukan sahaja akan menentang Kyrgyzstan tetapi bulan Mac ada pertemuan dengan Oman.”
“Ini bukan bermaksud kita tidak mengutamakan Piala Asia di Qatar. Kelayakan Piala Asia ini penting kerana ada kelebihan yang boleh memanfaatkan pasukan negara begitu juga Piala Asia. Setelah 42 tahun tidak layak, kali ini alhamdulillah kita berjaya layak (Piala Asia).”
Hal ini disebabkan sekiranya Malaysia mampu melangkah ke pusingan akhir, skuad negara berpeluang untuk berdepan hampir 10 negara yang berkelas dunia sekaligus bakal memanfaatkan skuad negara.