Jurulatih Mesir, Hossam Hassan mendedikasikan kemenangan pasukan itu dalam pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia kepada rakyat Palestin.
Perkara itu dinyatakan beliau selepas tamat perlawanan antara Mesir dan wakil Asia, Australia. Mesir mara ke pusingan seterusnya dengan menewaskan The Socceroos menerusi penentuan sepakan penalti.
Sebaik melihat Mesir meraih kemenangan, Hossam mengambil bendera Palestin sebelum mengibarkannya di tengah padang. Ini sebagai tanda solidariti beliau terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Legenda Mesir itu turut melihat kejayaan yang dilakar anak buahnya cukup bermakna bukan saja buat negara Afrika Utara itu tetapi juga untuk Palestin.
“Saya ingin katakan satu lagi perkara berkenaan rakyat Palestin. Saya doakan yang terbaik buat mereka dan jiwa dan raga saya bersama mereka. Betapa gembiranya mereka untuk kami dan kejayaan kami (ke atas Australia).
“Jadi, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka tidak kira di mana saja mereka berada. Moga Allah mengurniakan kejayaan buat mereka dan moga Allah merahmati para pejuang (yang terkorban).
“Saya beritahu mereka yang saya dedikasikan kejayaan ini kepada rakyat Mesir dan warga Palestin yang baik lagi pemurah,” katanya seperti dilaporkan Middle East Eye.
Mesir bakal bertemu juara bertahan, Argentina di peringkat 16 pasukan terbaik. Pusingan ini bakal menemukan legenda Liverpool, Mohamed Salah dan legenda Argentina, Lionel Messi.