Kekalahan 0-4 kepada Sabah FC semalam jelas sekali mahu dilupakan jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz apabila beliau kini mahu anak-anak buahnya mengalihkan tumpuan kepada perlawanan seterusnya iaitu menentang Perak FC.
Mengulas kekalahan besar yang menimpa pasukannya, Azzmi akur dengan keputusan tersebut sambil mengakui Sabah merupakan pasukan yang lebih bersedia apabila sudah bersama dalam satu tempoh yang panjang.
“Tahniah untuk pasukan Sabah. Kita faham, Sabah merupakan pasukan sudah bersedia. Mereka dah bersama dengan agak lama dan sekarang mereka akan beraksi di Piala AFC. Saya rasa mereka lebih baik. Apa pun saya beri kredit kepada pemain saya yang cuba bersaing,” jelas Azzmi.
Ketika ditanya mengenai perlawanan seterusnya menentang Perak FC di gelanggang sendiri, Azzmi berharap agar dapat mengutip tiga pertama musim ini walaupun tahu ianya bukan tugas yang mudah.
“Pastinya kita nak dapatkan tiga mata pertama kita musim ini sebab kita bermain di tempat sendiri. Cuma kita perlu mempersiapkan pasukan ini dengan lebih baik kerana kita tahu Perak dengan pemain-pemain muda yang berintensiti tinggi. Pastinya saingan berbeza untuk perlawanan tersebut,” katanya ketika ditemubual media selepas perlawanan menentang Sabah di Stadium Likas semalam.