Pengendali Singapura, Tsutomu Ogura mengakui pasukannya bernasib baik kerana tidak mengalami kekalahan lebih besar di tangan Yokohama F. Marinos.
Aksi terakhir jelajah Singapura di Jepun menyaksikan pasukan itu berhadapan dengan finalis Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24 itu.
Meskipun menurunkan barisan pemain simpanan, Marinos mendahului 5-0 pada separuh masa pertama. Kota Mizunuma, Kenta Inoue, Riku Yamane, Justin Homma dan Yuta Koike masing-masing mencetak satu gol.
Keita Ueda dan Yamane memastikan Marinos membolosi gawang Singapura sebanyak tujuh kali pada akhir perlawanan. Faris Ramli menyumbat gol saguhati buat The Lions bagi menjadikan keputusan 7-1.
Ogura menyifatkan segala aspek pasukan Singapura perlu diperbaiki daripada pertahanan sehinggalah aspek teknikal. Ini kerana itu merupakan kunci untuk pasukan itu melangkah ke hadapan selepas ini.
Sekiranya aspek yang dinyatakan tidak diperbaiki, pasukannya berpotensi mengalami kekalahan lebih besar di tangan pasukan J1 League itu.
“Kita perlu perbaiki segalanya – serangan, pertahanan, intensiti, satu lawan satu, individu dan teknik berkumpulan.
“Sebelum ini, mereka sedar betapa besarnya jurang antara mereka dengan pasukan J1 tetapi ini jadi nyata buat mereka bila mereka sebenarnya bermain.
“Mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan. Saya beritahu para pemain kita perlukan perkara seperti pertahanan dan pengaturan yang baik, dan jika kita kehilangan salah satu daripadanya, (kita mungkin) kalah 10-0 atau 20-0,” katanya selepas perlawanan kepada The Straits Times.
Selepas ini, The Lions akan mengalihkan fokus untuk dua aksi persahabatan antarabangsa. Mereka akan turun menentang negara serantau, Myanmar pada 15 November.
Ini disusuli aksi menentang Chinese Taipei pada 19 November ini. Kedua-dua aksi ini merupakan sebahagian daripada persiapan Singapura untuk menghadapi saingan ASEAN Championship 2024.