Bekas pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Alhaji Kamara berharap agar dapat kekal lebih lama bersama pasukan.
Tonggak berusia 30 tahun itu pernah bersama Harimau Selatan pada tahun 2015 namun hanya kekal selama 4 bulan di Johor.
Beliau dalam satu kenyataan memberitahu tentang pengalaman manis bersama JDT terutamanya keperibadian Pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
“Pengalaman bekerja dengan Tunku Mahkota Johor adalah satu anugerah, menjadi pemain JDT adalah pengalaman yang sangat berharga.
“Terima kasih bos (Tunku Ismail),” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Beliau yang kini beraksi buat kelab Divisyen 2 Portugal, Mafra menyimpan impian sekiranya dapat kekal lebih lama bersama JDT.
“Anda adalah lelaki yang hebat dengan hati yang baik dan ia akan menjadi impian sekali lagi untuk melawat Johor.
“Lihat semua perkara menakjubkan yang telah anda lakukan. Bertemu dengan orang ramai dan menonton perlawanan bola sepak di stadium yang menakjubkan itu,” tambahnya.
“Kami mempunyai masa yang baik, saya harap saya boleh menghabiskan masa yang lama di Johor,” jelasnya.
Kamara bagaimanapun hanya beraksi sebanyak dua perlawanan sahaja bersama JDT pada tahun tersebut iaitu ketika aksi bertemu South China dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015.
Pemain kelahiran Sierra Leone itu hanya menjaringkan satu gol sahaja sepanjang tempoh perkhidmatannya di JDT.