Malaysian Football League pada Khamis mengumumkan kalendar Liga Malaysia bagi musim 2023, dengan memperkenalkan beberapa perubahan.
Ini termasuklah pengenalan format baru Piala Malaysia menyaksikan ia berlangsung di pertengahan saingan Liga Super lantas menyaksikan aksi terakhir liga akan menjadi aksi penutup tirai 2023 pada Disember.
Selain itu Liga Simpanan dijenamakan sebagai Piala MFL, mempertandingkan semula MFL Challenge Cup serta perubahan pada waktu sepak mula.
Meskipun menimbulkan perdebatan dalam kalangan penyokong, namun perubahan ini disambut baik jurulatih kelab-kelab yang bertanding.
Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, berkata perubahan jadual Liga Malaysia yang dilaksanakan memberi ruang kepada semua pemain untuk tetap beraksi sepanjang musim dan amat penting bagi pasukan memastikan setiap pemain berada dalam tahap terbaik.
Tambahnya, waktu sepak muladi sebelah petang juga memberi kelainan kepada setiap pasukan untuk menarik lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan.
“Kalau kita lihat jadual yang telah dikeluarkan ini, saya rasa MFL (Malaysian Football League) telah melakukan kerja rumah yang terperinci supaya Liga Malaysia dapat dijalankan dengan lancar.
“Dan musim ini juga akan lebih panjang apabila kita akan tamat pada bulan Disember, jadi sudah tentu ini sesuatu yang positif kerana pemain-pemain akan dapat bermain sepanjang tahun.
“Saya juga rasa penyokong-penyokong sudah tahu dan waktu baharu ini juga fleksibel di mana saya rasa peranan sosial media pasukan juga penting untuk menjadi platform kepada peminat mengikuti perkembangan jadual pasukan ini.
“Yang penting saya harap semuanya akan dapat dijalankan dengan lebih baik di mana sudah tentu perlawanan lebih banyak, jadi kami sendiri perlu ada ramai pemain berkualiti selain kita tahu Selangor juga ada ramai pemain-pemain untuk skuad kebangsaan”, ujar Cheng Hoe.
Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee pula menganggap kembalinya Challenge Cup adalah langkah yang sangat baik untuk memastikan kecergasan pemain-pemain tidak terjejas sekiranya pasukan tersingkir awal di pentas Piala Malaysia.
Dalam masa sama, beliau juga dapat memanfaatkan sepenuhnya barisan pemain yang ada tanpa mengetepikan mana-mana pemain.
“Satu usaha yang cukup baik kerana apabila ada pasukan yang tidak layak ke peringkat seterusnya, mereka masih ada lagi perlawanan kompetitif untuk diharungi.
“Penting untuk setiap pemain berada dalam tahap kecergasan yang baik kerana kemungkinan pemain-pemain ini ada yang akan beraksi dalam skuad kebangsaan, jadi mereka boleh sentiasa mengekalkan kecergasan masing-masing.
“Keseluruhan, saya rasa kalendar musim ini amat berbeza dan cabarannya adalah untuk kita memastikan pemain-pemain semua cukup cergas dan ini menandakan kita tidak boleh hanya mengharapkan beberapa pemain atau kesebelasan utama sahaja, tetapi kena memberi tumpuan kepada semua yang ada dalam pasukan”, katanya.