Kapten pasukan JDT II, Muhammad Nizaruddin bertekad mahu menjulang Piala MFL 2023 demi membanggakan rakyat Johor.
Nizaruddin mengakui pasukan JDT harus berwaspada dengan ancaman Terengganu yang menampilkan aksi cemerlang ketika ini namun optimis JDT akan memberikan yang terbaik untuk menjulang Piala MFL.
“Macam yang kita tahu, Terengganu adalah pasukan yang kuat tapi sebagai pemain kami perlu menghadapi perlawanan ini kerana yang terbaik akan memenangi piala ini. Kami akan buat yang terbaik dan tidak akan terleka.” ujar Nizaruddin dalam sidang media pra perlawanan.
“Kami ambil semangat pasukan utama dan mencontohi prestasi mereka. Kami akan banggakan rakyat Johor dan memenangi piala edisi kali pertama ini.” tambah Nizaruddin lagi.
Pemain tengah ini juga berpendapat penyerang muda Terengganu, Syahmi Zamri antara pemain yang harus diberi perhatian untuk aksi akhir kelak.
“Syahmi sedang berada dalam prestasi terbaik namun kami tidak boleh fokus kepada seorang pemain sahaja. Kami harus berwaspada dengan seluruh pasukan Terengganu.” ujar Nizaruddin.
Nizaruddin juga menyeru kepada seluruh penyokong JDT agar hadir memeriahkan lagi perlawanan akhir Piala MFL menentang Terengganu pada esok hari.
“Kepada seluruh rakyat Johor tidak kira dimana anda berada, saya harap anda dapat hadir ke Stadium Cheras untuk memberikan kami sokongan. Insya Allah kami akan buat yang terbaik dan menghadiahkan piala ini untuk anda semua.” seru Nizaruddin kepada para penyokong JDT.