Kapten Kedah FA, Pape Diakite mengakui teringin kembali beraksi di Liga Super.
Perkara ini dinyatakan beliau kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas perlawanan Liga A1 antara Kedah dan Imigresen FC II baru-baru ini.
Diakite melihat peluang beraksi di Liga Super sebagai peluang untuk menambah baik kualiti permainan. Justeru, beliau masih berharap pasukan itu dapat beraksi di liga berkenaan pada musim depan.
Namun begitu, Diakite turut menyerahkan segala keputusan berkaitan hala tuju skuad Hijau Kuning kepada pengurusan pasukan.
“”Liga Super adalah cara untuk tingkatkan mutu permainan. Saya ke mari dengan tujuan untuk membantu pasukan mencapai sasaran.
“Pada akhirnya, terpulang kepada pengurusan untuk tentukan kedudukan (ke Liga Super),” katanya.
Bekas bek tengah Terengganu FC itu juga tidak menolak menimbang tawaran daripada pasukan-pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.
“Sebagai seorang Muslim, saya merasa tenang dan bagus di sini (Malaysia). Anda ada (kelebihan berpuasa pada bulan) Ramadan dan (sambutan) Aidilfitri.
“Saya tak rasa tertekan, kita lihat saja nanti,” ujarnya.
Kedah FA kini hangat memburu Selangor FC II dan Johor Darul Ta’zim (JDT) II untuk gelaran juara Liga A1 Semi-Pro. Mereka di tempat ketiga dengan 48 mata.