Karier Dion Cools Di Denmark Di Ambang Kemusnahan?

Dion Cools 12 Karier Dion Cools Di Denmark Di Ambang Kemusnahan?
djcools21

Situasi yang berlaku terhadap pemain bintang Harimau Malaya, Dion Cools bersama kelabnya di Denmark, FC Midtjylland sememangnya merisaukan para penyokong.

Mana tidaknya, sehingga kini, pemain berdarah Belgium-Malaysia itu masih belum beraksi dalam semua pertandingan yang disertai kelabnya.

Dan yang terkini, nama beliau disisihkan daripada menyertai Liga Europa UEFA yang mana Midtjylland akan memulakan saingan pada 9 September ini menentang kelab dari Austria, SK Strum Graz.

Tiada nama Dion Cools dalam senarai pemain FC Midtjylland.

Selain disisihkan dalam skuad Liga Europa UEFA, Dion Cools juga sehingga kini masih belum diturunkan dalam saingan Liga Denmark bersama kelabnya.

Situasi ini begitu merisaukan penyokong Harimau Malaya yang sentiasa berharap Dion Cools akan sentiasa bermain untuk mengekalkan tahap kecergasan dan dalam masa yang sama mampu membantu skuad negara apabila diperlukan kelak.

Nama Dion Cools dijangka bakal menyertai pasukan gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun hadapan. Perkara ini disahkan sendiri oleh pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dalam satu sesi sidang media bersama peminat pada Jun lalu.