Bintang Selangor FC, Faisal Halim menzahirkan penghargaan buat kesemua pihak setelah membawa The Red Giants layak ke Asia musim hadapan.
Selangor turun dalam aksi tertunda Liga Super di Stadium MBPJ pada Sabtu dengan misi besar memperoleh 3 mata sekaligus mengesahkan tempat di kedudukan yang kedua.
Hatrik Faisal Halim, dua gol daripada Aliff Haiqal serta satu jaringan masing-masing oleh Aliff Izwan dan Quentin Cheng memastikan kemenangan 7-0 memihak Selangor.
Menurut Faisal, hatrik pada malam tersebut dihadiahkan buat semua penyokong-penyokong Selangor selain turut sempat mengucapkan terima kasih untuk rakan sepasukan dan pihak pengurusan kelab.
”Hai assalamualaikum semua, terima kasih kepada peminat dan rakyat Selangor, 3 gol malam ini untuk anda semua,” ujar Faisal Halim.
”Terima kasih untuk kawan-kawan, pihak pengurusan dan penyokong Selangor,” tambah pemain sayap kiri itu lagi.
Tinjauan di ruangan komen menyaksikan penyokong setia bola sepak tempatan khususnya pasukan Selangor begitu terharu melihat kebangkitan Faisal Halim yang dah kembali menemui rentak.
Untuk rekod, ini adalah jaringan pertama untuk Faisal Halim pada musim ini setelah berjuang hebat bagi kembali bangkit beraksi di atas padang membuatkan para peminat terharu.
Kemenangan ini memastikan tempat Selangor di kedudukan kedua carta Liga Super selain turut mengesahkan slot untuk ke kejohanan AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan.