Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan sehingga akhir musim ini.
Selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi perlawanan termasuk tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25, Selangor kini meraih dua kemenangan berturut-turut.
Selepas membelasah Dynamic Herb Cebu 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), giliran Negeri Sembilan menjadi mangsa terbaru Merah Kuning. Skuad Rusa dibelasah 4-0 oleh Selangor buat kali ketiga untuk musim 2024/25.
Aliff Haiqal Lau, Alvin Fortes, Quentin Cheng dan Yohandry Orozco mencetak nama sebagai penjaring dalam aksi berkenaan.
Meskipun gembira kerana berjaya meraih kemenangan pertama dalam Liga Super sebagai jurulatih Selangor, Kinoshi tidak mahu berhenti di situ saja. Jurulatih Jepun itu mahu momentum kemenangan itu dikekalkan sehingga tamat musim 2024/25.
“Saya berpuas hati dengan latihan kami, keputusan, cara kami bermain dan semuanya. Tetapi perkara yang paling penting ialah kami perlu mengekalkan (momentum) seperti itu.
“Anda tahu setiap kali menang 4-0, ianya amat sukar. Kadang-kadang kami menghadapi perlawanan yang sukar seperti dua perlawanan sebelum ini iaitu Muangthong United dan Sri Pahang, perkara seperti itu.
“Tetapi perkara yang paling penting ialah kami perlu mengekalkan perkara seperti itu, percaya pada diri sendiri dan percaya pada masa depan mereka. Saya beritahu mereka tanpa kerja keras, kita tidak akan capai cita-cita.
“Jadi, kita mesti lakukan itu (kekalkan momentum). Bagi saya, ini adalah kemenangan pertama dalam Liga Super Malaysia. Tetapi untuk Selangor, ini hanya satu kemenangan. Jadi, kita perlu kekalkan seperti itu sehingga ke akhirnya,” katanya selepas perlawanan.
Selangor bakal menghadapi saingan MFL Challenge Cup tanpa kelibat empat tonggak iaitu Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Harith Haiqal Adam Afkar, Khuzaimi Piee dan kapten, Safuwan Baharudin.
Ini kerana keempat-empat pemain itu menyertai skuad kebangsaan Malaysia dan Singapura untuk saingan ASEAN Championship 2024.
Kinoshi mengakui ketiadaan mereka memberi kesukaran kepada Selangor. Pada masa sama, beliau percaya ini peluang kepada pemain lain untuk tampil merebut peluang dalam kesebelasan utama.
“Jadi, saya mahu lihat seperti yang anda ketahui, kita kehilangan beberapa pemain tonggak. Jadi, saya ingin melihat seseorang (pemain lain) bakal menjadi tonggak utama baru,” ujarnya.
Selangor bakal menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk saingan suku akhir pertama MFL Challenge Cup pada 12 Disember ini.