Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi tampak akur menerima keputusan kad merah yang diberikan pengadil buat Safuwan Baharudin ketika menentang PDRM pada Sabtu.
Selangor turun ke laman sendiri menanti kunjungan PDRM untuk perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup pada Sabtu dengan kedua-duanya punyai misi mencari bekalan selesa.
Pada aksi tersebut, dua jaringan Alvin Fortes dan satu gol oleh Ali Olwan memberi kemenangan tipis untuk Selangor yang beraksi hampir 80 minit dengan 10 orang pemain.
Ini selepas ketua pasukan, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah seawal minit ke-11 setelah VAR sahkan terjahan lewat ke atas Shahrel Fikri di hadapan kotak penalti ketika itu merbahayakan.
Menurut Kinoshi, beliau melihat kemenangan di Kelana Jaya ini bagai satu kejayaan apabila pasukan terpaksa bertarung selama lebih 80 minit dengan hanya 10 orang pemain di atas padang.
”Bagi saya, ini adalah kemenangan besar, awak tahu bermain dengan 10 pemain selepas minit ke-10, jadi kami perlu lawan selama 80 minit tanpa seorang pemain,” kata Kinoshi selepas aksi tamat.
Ketika ditanya mengenai kad merah kepada Safuwan, Kinoshi menerima dengan akur dan jelaskan tiada siapa punyai kuasa bagi menghalang keputusan pengadil jika sudah dilayangkan kad merah.
”Dalam bola sepak, sekiranya pengadil telah melayangkan kad merah, tiada siapa yang boleh menghalang.”
Oleh itu, Kinoshi dan pasukan menerima keputusan pengadil itu perlu memberi respon yang positif dengan menampilkan aksi lebih berdisiplin walaupun kekurangan seorang pemain.
“Kad merah tetap kad merah, kami (Selangor) perlu terima dan beri respon,” tambah Kinoshi.
Aksi timbal balik MFL Challenge Cup bakal dijadualkan pada Sabtu, 22 Januari hadapan.