Jurulatih interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag telah dipuji oleh jurulatih berpengalaman iaitu Sulaiman Hussin kerana berani meletakkan pemain muda membarisi skuad utama Kedah.
Pujian Sulaiman itu telah dilontarkan menerusi satu kemaskini di laman Facebook milik Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) itu.
Bagi Sulaiman, keputusan Victor sebagai jurulatih tempatan meletakkan pemain-pemain muda itu merupakan satu keberanian dan mempunyai jati diri.
“Tahniah Victor Andrag. Jurulatih tempatan. Berani beri pemain muda peluang. Yang paling penting, ada jati diri untuk pasukan yang dilatih,” coret Sulaiman di laman Facebook.
Untuk rekod, Victor telah memberikan peluang untuk beberapa pemain muda dalam aksi separuh akhir Piala Cabaran MFL menentang PDRM FC pada Ahad.
Antara pemain muda Kedah yang diberikan peluang untuk beraksi adalah Aiman Afif, Danial Tarmizi dan Aiman Danial.
Lebih menarik lagi, Kedah memulakan perlawanan dengan hanya berbekalkan seorang pemain import iaitu Milos Gordic yang turut memakai lilitan kapten pasukan.
Biarpun tewas kepada PDRM melalui penentuan sepakan penalti, namun keberanian Victor wajar diberikan kredit lebih-lebih lagi dengan isu dalaman skuad Kedah yang masih belum selesai.
Victor dijangka akan terus menggunakan tenaga pemain-pemain muda ini untuk meneruskan baki saingan dalam Liga Super yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi.