Selepas meninggalkan Kemboja, ramai ingin tahu pasukan mana yang bakal dilatih legenda Jepun, Keisuke Honda. Walaupun masih tidak mendedahkan destinasi seterusnya, bekas pemain tengah VVV-Venlo itu berminat untuk melatih Thailand.
Hal ini dinyatakan dalam satu hantaran di akaun media sosial peribadinya semalam. Beliau berhasrat melatih pasukan-pasukan yang mempunyai peluang cerah layak ke Piala Dunia 2026.
“Sebagai jurulatih, saya berminat menjadi jurulatih Oman, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand atau beberapa negara lain yang mahu bertanding dalam Piala Dunia 2026,” katanya seperti Zing News.
Sebaik ia dimuatnaik, ia mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada media Thailand. Ada yang berpandangan ia bakal mengundang reaksi negatif penyokong lebih-lebih lagi dengan kualiti yang ditunjukkan skuad Gajah Perang di bawah bimbingan Mano Polking.
Ketika ini, jurulatih berdarah Brazil-Jerman itu masih mempunyai baki kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) hingga Mac 2024. Ini disebabkan kontraknya yang sedia ada berakhir pada hujung tahun ini tetapi disambung sehingga Mac tahun hadapan bagi memastikan persiapan Piala Asia 2023 Thailand tidak terjejas.
Honda mungkin lebih berpeluang menjadi jurulatih UAE. Ini selepas jurulatih Argentina, Rodolfo Arruabarrena melepaskan jawatan tersebut baru-baru ini.
Dengan Persatuan Bola Sepak UAE sedang mencari figura baru sebagai presiden mereka, sebarang usaha untuk mencari pengganti Arruabarrena perlu ditangguhkan terlebih dahulu. Tetapi dengan Honda sudah menunjukkan minat, maka ia sudah pasti akan menarik minat persatuan bola sepak itu.