Hasrat Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Wanita B-19 AFF tidak kesampaian apabila tewas kepada Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Skuad Malayan Tigress B-19 perlu menang jika mahu mara ke peringkat separuh akhir. Situasi ini berlaku selepas Malaysia tewas 7-1 kepada Thailand.
Lauren Hoh Ruyi diberi kepercayaan mengetuai skuad negara. Gandingan Kaseh Carlmila Az Zahra dan Ku Nuwairah Ku Mahadzir terus menjadi sandaran gol Cameron Ng.
Separuh masa pertama menyaksikan Indonesia mula memberi tekanan ke atas gawang yang dikawal penjaga gol negara, Daliea Eliesa Mohd Hafiz.
Hasilnya, mereka mendahului seawal minit kesembilan menerusi Nasywa Salsabila. Tersentak, Malayan Tigress B-19 cuba bangkit memburu jaringan penyamaan.
Malangnya, gol penyamaan yang dicari Malaysia gagal ditemui. Sebaliknya, Indonesia menggandakan kelebihan mereka menerusi Sydney Hopper pada minit ke-28.
Malaysia berusaha merapatkan jurang gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Cameron berusaha memperkemaskan rentak anak buahnya dengan harapan dapat merapatkan jurang gol.
Hasrat tersebut musnah apabila Jezlyn Kayla Azkha menambah gol ketiga buat Indonesia pada minit ke-60.
Allya Putri Afianti menambah derita Malayan Tigress B-19 dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-80. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan skuad negara menamatkan kempen Kumpulan B di tangga ketiga dengan tiga mata. Ini memastikan Indonesia mengiringi Thailand ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan.
Thailand muncul juara kumpulan apabila menewaskan Kemboja 4-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B.