Advertisement
Kelab Mongolia, Tuv Azarganuud Bolos 109 Gol Dalam 9 Perlawanan
Asia
MakanBola
Mongolian Premier League

Kelab Mongolia, Tuv Azarganuud dianggap tidak bernasib baik oleh ramai peminat bola sepak Asia.

Ini kerana kelab itu sudah dibolosi sebanyak 109 kali selepas sembilan perlawanan Mongolian Premier League (MPL) musim 2024/25.

Daripada sembilan perlawanan, enam daripadanya berakhir dengan keputusan dua digit. Ini termasuk kekalahan terbaru 20-1 di tangan Brera Ilch FC pada 20 Oktober lalu.

Ini sama sekali berbeza dengan apa yang berlaku pada musim 2023/24. Meskipun tewas sebanyak 10 kali dalam saingan MPL, Azarganuud berjaya menamatkan musim di tempat kelima.

Walau bagaimanapun, ramai peminat menjangkakan usaha untuk kekal dalam MPL pada akhir musim 2024/25 sebagai terlalu sukar.

Ini kerana mengikut laporan Dailysports, ini disebabkan masalah kewangan yang dihadapi kelab itu. Isu ini memaksa mereka melepaskan ramai pemain senior termasuk beberapa tonggak import.

Bagi membolehkan mereka dapat memenuhi komitmen perlawanan, Azarganuud menggunakan khidmat pemain muda dan pemain dari divisyen bawah untuk membentuk pasukan.

Kombinasi ini menyebabkan pasukan itu tidak dapat memberi saingan bermakna kepada pasukan-pasukan lain dalam MPL.

Jika situasi ini berterusan, Azarganuud perlu mengucapkan selamat tinggal kepada MPL dan tersingkir ke Mongolian 1st League (divisyen kedua Mongolia) pada akhir musim 2024/25.