Kelab Norway, FK Bodo/Glimt mengumumkan hasil jualan tiket aksi Liga Europa UEFA (UEL) menentang Maccabi Tel Aviv akan disalurkan kepada Palestin.
Langkah ini diumumkan pengurusan juara Eliteserien (divisyen utama Norway) sebanyak empat kali itu pada 31 Januari lalu.
Pengurusan Bodo/Glimt menyifatkan mereka cukup tersentuh dengan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa penindasan rejim Israel terutama di Semenanjung Gaza.
Atas sebab itu, pasukan yang diberi jolokan The Yellow Horde mengumumkan derma sebanyak 735,000 krona Norway (RM289,000) akan disalurkan kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Dana tersebut akan digunakan untuk membantu penyaluran bantuan kemanusiaan sekitar Semenanjung Gaza.
Aksi UEL antara Bodo/Glimt dan Maccabi Tel Aviv pada 24 Januari lalu berakhir dengan kemenangan 3-1 buat tuan rumah.
Selepas ketinggalan menerusi gol Dor Peretz, The Yellow Horde menyamakan kedudukan menerusi Kasper Hogh pada separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan gol Hogh dan Hakon Evjen memastikan kemenangan milik Bodo/Glimt.
Sebaik langkah tersebut diumumkan The Yellow Horde, ramai peminat bola sepak memuji tindakan kelab Norway itu.
Salah seorang daripadanya ialah Leyla Hamed, seorang wartawan berdarah Maghribi-Sepanyol. “(Tindakan) yang sangat terpuji daripada Bodo/Glimt,” katanya di X.
Seorang peminat bola sepak daripada Nigeria bernama Nessy00 cukup berterima kasih dengan tindakan Bodo/Glimt. “Terima kasih, saya harap anda akan berjaya di Eropah dan juga dalam liga anda,” katanya.
The Yellow Horde layak ke pusingan play-off UEL. Pasukan itu akan menentang Twente pada 13 dan 20 Februari ini.