Advertisement
Kelantan FC Makin Rancak
Liga Super
MakanBola
Kelantan FC

Pasukan Liga Super, Kelantan FC kini kelihatan lebih meriah terutamanya menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan bagi aksi Liga Super berikutnya.

Sungguhpun menghadapi pelbagai rintangan sejak awal musim, ia jelas tidak mematahkan semangat pasukan milik Norizam Tukiman untuk terus bersaing sebaik mungkin.

The Red Warriors juga kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain dan memaksa pengendali pasukan untuk merangka perancangan yang baharu.

Perkembangan terbaru Kelantan menyaksikan pasukan telah berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain import baharu untuk memantapkan lagi skuad yang masih muda dan kurang berpengalaman.

Menerusi beberapa pengumuman yang telah dilakukan, Kelantan secara rasmi telah mendapatkan khidmat muka baharu pada jendela perpindahan kali ini termasuklah bekas penyerang Liga 1 Thailand, Dennis Bushening untuk menajamkan jentera serangan pasukan.

Tugas pengendali pasukan, Alfredo Vera untuk menyelesaikan isu pertahanan mendapat respon positif dengan kemasukan dua bintang baharu, Aliakbar Ahmadi dan pertahanan Sierra Leone, Allie Sesay.

Terbaru, perancang tengah Mesir, Ahmed Magdy sekali lagi memberi khabar gembira apabila beliau sudah pun menjalani latihan bersama Kelantan.

Pemain import baharu yang dibawa masuk ini dijangka dapat diturunkan berdepan Negeri Sembilan yang juga berebut import Maghribi, Youssef Ezzejjari dengan Kelantan tempoh hari.

Ketika ini, Kelantan berada pada kedudukan tercorot liga dengan 5 mata manakala skuad Jang di tangga ke-9 dengan 21 mata.