Pengurusan pasukan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) sudah menghantar permohonan kepada Liga Bola Sepak Amatur (AFL) untuk menyertai Liga A1 Semi-Pro musim hadapan.
Perkara ini disahkan Ketua Pegawai Operasi AFL, Raimi Fakri Mohd Fuad kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Sememangnya kita telah menerima permohonan (menyertai Liga A1 Semi-Pro) secara rasmi daripada KRW pada 18 Disember,” katanya.
“Dan kita pun telah membalas surat tersebut di mana kita telah memaklumkan KRW bahawa buat masa ini, AFL tidak akan membuat sebarang keputusan.”
Permohonan ini merupakan sebahagian daripada enam perancangan yang digariskan Naib Presiden KRW, Ammar Zahar untuk mengembalikan kegemilangan pasukan itu.
Selain beraksi dalam saingan Liga A1, KRW juga bakal beraksi dengan belanjawan bersifat sederhana dan mengutamakan anak tempatan.
KRW juga bakal mengetengahkan gabungan pemain muda dan berpengalaman dalam pasukan, membentuk barisan kejurulatihan yang berkaliber dan memiliki hala tuju sendiri.
Liga A1 Semi-Pro bakal mempunyai dua pendatang baru untuk musim 2025/26. Ini selepas Guar Syed Alwi FC (GSA FC) muncul juara Liga A2 Amateur dengan menewaskan Kelantan WTS di peringkat akhir.