Kelantan pada hari ini mengesahkan telah menandatangani khidmat Shafiq Shaharudin untuk memperkasa sentuhan barisan depan.
Kehadiran Shafiq bukanlah satu kejutan buat penyokong Kelantan kerana dia telahpun berada di dalam skuad sejak beberapa minggu lalu, menjalani trial dan beraksi dalam beberapa perlawanan pra-musim.
Dengan penambahan pemain berusia 29 tahun ini ke dalam skuad, Kelantan kini mempunyai barisan depan yang boleh dikatakan agak ampuh.
Selain mengekalkan khidmat Kervens Belfort, skuad The Red Warriors sebelum ini telah membawa masuk tiga lagi penyerang import iaitu Nuha Marong, Ismahil Akinade dan Andreas Esswein.
Malah Nushamil Abd Ghani juga masih setia bersama pasukan kendalian Choi Moon Sik itu,
Sebagai rekod, Shafiq yang berasal dari Johor merupakan produk Piala Presiden JDT dan dia pernah menyarung jersi Kelantan pada 2018 dengan kontrak selama dua tahun.
Meskipun gagal untuk menyelamatkan pasukan yang bergelut dengan masalah kewangan ketika itu daripada tersingkir ke Liga Premier, Shafiq mencuri tumpuan ramai apabila muncul penjaring tempatan terbanyak Liga Super dengan enam gol.
Malah Shafiq pada waktu itu turut berjaya memenangi perhatian Tan Cheng Hoe dan memenangi kap pertama bersama Harimau Malaya apabila diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Fiji.
Selepas meninggalkan Kelantan setelah mencapai persetujuan bersama pada 2019, kariernya mula merudum dan terus ‘hilang’ dari radar bolasepak tanah air sebelum bangkit semula bersama pasukan M3, KL Rovers pada musim lalu.