Kelantan WTS Nafi Dakwaan Kelab Bergolak
MakanBola
Kelantan WTS FC

Kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan WTS FC menafikan dakwaan kelab itu berdepan masalah dalaman.

Dakwaan kelab Pantai Timur itu berdepan isu berkenaan timbul menerusi satu laporan media yang disiarkan baru-baru ini.

Lantaran itu, pengurusan Kelantan WTS tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibangkitkan terhadap kelab berkenaan.

Pengurusan pasukan menyifatkan sebarang laporan yang dibuat tanpa pengesahan rasmi sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej kelab.

“Pihak kelab ingin menegaskan bahawa sebarang penyiaran maklumat tanpa pengesahan rasmi adalah tidak bertanggungjawab dan boleh memberi kesan negatif terhadap reputasi serta imej profesional kelab.

“Sehubungan itu, Kelantan WTS FC dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan yang tidak tepat seperti yang telah disebarkan.

“Pihak pengurusan menegaskan bahawa pasukan berada dalam keadaan stabil dan terus komited dalam memastikan operasi kelab berjalan secara profesional serta teratur,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kelantan WTS turut memaklumkan akan meneliti langkah-langkah selanjutnya termasuk tindakan perundangan bagi melindungi reputasi dan kepentingan kelab itu.

Pengurusan pasukan turut menyeru penyokong agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat yang tidak sahih dan mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi kelab itu.