Hasrat skuad Malaysia B-17 layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 pada September ini tidak kesampaian. Ini selepas anak-anak buah Petronella Downy dibelasah tuan rumah Thailand 11-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Separuh masa pertama menyaksikan Malayan Tigress dibolosi seawal minit ketujuh menerusi Rinyaphat Moondong. Chirarak Khamtan menggandakan kelebihan tuan rumah empat minit selepas itu.
Prichakorn Kruecheunchom kemudiannya menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-16 dan ke-18. Skuad Gajah Perang terpaksa menanti lebih 20 minit sebelum menyumbat gol kelima pada minit ke-39 menerusi Achiraya Yingsakul.
Dengan keputusan 5-0 semasa rehat, Malayan Tigress tahu peluang mereka layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 sudah tertutup. Justeru, separuh masa kedua menyaksikan anak-anak buah Petronella berusaha mengurangkan jumlah gol yang membolosi gawang yang dikawal Daliea Eliesa Mohd Hafiz.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Thailand menyumbat enam lagi gol bagi menjadikan keputusan 11-0 sekaligus kemenangan besar buat tuan rumah.
Keputusan itu bukan saja membolehkan Thailand mara dengan enam mata dan kelebihan jaringan yang besar berbanding Malaysia. Malah, ia menunjukkan jurang besar dari segi kualiti kedua-dua pasukan – sesuatu yang diharap dapat ditambahbaik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beberapa tahun akan datang.
Biarpun tewas besar di tangan Thailand, penyertaan Malayan Tigress dalam pusingan kelayakan ini dianggap satu pengalaman yang baik. Sudah pastinya, sebarang kelemahan yang dikenalpasti Petronella akan ditambahbaik bagi memastikan anak-anak buahnya tampil lebih mantap di peringkat antarabangsa.