Pemain muda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Alfi Rasid yang juga merupakan adik kepada bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid akhirnya membuat penampilan kali pertama bersama pasukan KDA FC B dalam saingan Kumpulan A Piala MFL semalam.
Alfi yang diturunkan dalam kesebelasan utama beraksi sebagai pemain di posisi sayap kanan dalam perlawanan menentang Penang FC itu. Namun penampilan pertama Alfi hanya bertahan 45 minit sahaja sebelum dikeluarkan sebelum bermula separuh masa kedua.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Penang yang berjaya menewaskan KDA FC B, 2-1. Gol skuad muda Penang dijaringkan oleh Alif Ikmal Rizal yang meledak dua pada separuh masa pertama.
Gol saguhati KDA FC B pula dijaringkan oleh Mustakim Mustapha pada separuh masa kedua. Kekalahan ini merupakan kekalahan yang keempat buat KDA FC B dalam saingan Piala MFL musim ini.
Kesebelasan utama KDA FC B yang diturunkan pada aksi semalam adalah rata-ratanya bukan pemain utama. Berkemungkinan besar, barisan pemain utama direhatkan bagi mendapatkan persediaan yang cukup sebelum aksi terakhir Piala MFL menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada 24 Julai ini.
KDA FC B kini menghuni tangga keempat kumpulan A Piala MFL dengan mengumpul 25 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.