Kemahiran Gelecek Bintang Muda JDT Curi Perhatian
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kemahiran gelecek pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) II, G. Pavithran mencuri perhatian ramai peminat baru-baru ini.

Ini kerana larian solo dan kemahiran menggelecek bola yang dimilikinya membantu JDT II meraih gol pembukaan dalam aksi Liga A1 Semi-Pro ketika menentang Perak FA pada 28 April lalu.

Selepas berjaya mematikan serangan Perak menerusi sepakan sudut, bola jatuh di kaki Pavithran. Pemain berusia 21 tahun itu kemudiannya menggelecek bola walaupun cuba dihalang pemain tuan rumah.

Pavithran kemudiannya mengumpan penjaga gol Perak, Syazwan Syazany Ahmad Shafei keluar sebelum menolak bola ke dalam gawang yang kosong.

Sebaik video tersebut dikongsikan di media sosial, ramai peminat teruja dengan larian pantas dan kemahiran menggelecek beliau.

Seorang peminat bernama K.V Comrade berharap Pavithran dapat mengekalkan prestasi di atas padang. “Pavithran, moga terus kekal konsisten. Tabik hormat,” katanya di ruang komen Amateur Football League.

Seorang pengguna X bernama Milo_Fiq pula melihat Pavithran sebagai versi baharu S. Chanturu. “Akhirnya, S. Chanturu ekspres yang baru,” katanya.

Seorang lagi pengguna X bernama Facundo Garchomp pula berpandangan sudah tiba masanya buat Pavithran mendapatkan minit permainan senior bersama kelab Liga Super.

Dia melihat itu langkah terbaik untuk membantu karier permainannya. “Dia perlukan minit permainan senior di Liga Super. Nak tembus (skuad utama) JDT, mimpilah.

“Harap boleh cuba pindah dulu secara pinjaman ke mana-mana kelab Liga Super,” ujarnya.

Nama Pavithran mula dikenali apabila menyerlah bersama skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) untuk kelayakan Piala Asia B-20 2025. Beliau juga pernah dipanggil menyertai kem Harimau Malaya untuk ASEAN Championship 2024.