“Kenapa Kami Tidak Boleh Bermimpi Menangi Piala Dunia?” – Jurulatih Maghribi
Dunia
AFP
Advertisements

Selepas memacu Maghribi melakar sejarah hebat mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022, jurulatihnya Walid Regragui sudah tidak ragu-ragu dengan kredibiliti barisan pemainnya.

Maghribi menumbangkan satu demi satu pasukan gergasi Eropah dalam laluan mereka – Belgium, Sepanyol dan Portugal – selain seri menentang Croatia pada aksi pertama, dan kini mereka dihadiahkan pula pertemuan menentang juara bertahan, Perancis.

Tiada siapa menyangka mereka akan mara sejauh ini kecuali Samuel Eto’o, dan bagi Regragui dia tidak mahu Maghribi berhenti di sini dan cuba melakar satu lagi sejarah muncul pasukan pertama dari luar Eropah dan Amerika Latin untuk mara ke final seterusnya memenangi Piala Dunia.

Advertisements

“Kami menjadi pasukan kesayangan ramai di Piala Dunia ini, kerana kami tunjukkan bahawa walaupun tanpa pemain-pemain bintang, jika ada keinginan, kepercayaan serta bermain sepenuh hati, kita boleh lakukannya.

“Saya pasti ramai akan kata ini adalah satu keajaiban, tapi jangan lupa kami layak sejauh ini tanpa bolos menentang Belgium, Sepanyol dan Portugal, itu adalah hasil kepada kerja keras.

“Kini kami hanya selangkah untuk menjadi negara Afrika pertama layak ke final, saya mahu pemain memasang impian untuk menyingkirkan pula Perancis. Mungkin ia mimpi, tetapi tiada salah untuk bermimpi, kenapa tidak boleh kami bermimpi untuk mara ke final dan menang Piala Dunia?

Advertisements

“Bermimpi tidak merugikan apa-apa, kita sudah selalu menyaksikan negara Eropah dan Latin menang Piala Dunia. Tak boleh ada pasukan lain ke? Kami telah menentang beberapa pasukan hebat, tetapi sehingga kini kami belum mengecap apa-apa.

“Sesiapa sahaja yang menentang kami selepas ini, perlu berada pada tahap tertinggi prestasi mereka, jangan harap laluan mudah. Itu apa yang mahu saya sampaikan,” ujar pengendali kelahiran Perancis ini.

Selepas mengharungi lima perlawanan, belum ada pemain lawan yang berjaya menembusi gawang Maghribi. Satu-satunya gol yang mereka lepaskan ketika menentang Canada dalam aksi peringkat kumpulan adalah jaringan sendiri oleh Nayef Aguerd.

Advertisements

Dalam pada itu, Regragui turut menyatakan rasa gembira dengan kemenangan Perancis ke atas England.

“Saya membimbing Maghribi menentang negara kelahiran saya, tanah tumpah darah saya dan tempat saya bermain hampir keseluruhan karier. Perancis ibarat rumah kedua saya, sudah tentu ia menggembirakan untuk melihat mereka mara dan kini saya perlu mengetepikan segala sentimen dan emosi untuk cuba mencatat satu lagi sejarah,” ujar Regragui.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram