“Kenta Dikeluarkan Kerana Tak Beri Sumbangan, Bukan Cedera” – Rezal Zambery
Dunia
Kelantan FC
Advertisements

“Pemain saya telah memberikan permainan yang boleh dipuji,” begitulah reaksi pengendali Kelantan, Rezal Zambery Yahya selepas pasukannya dijinakkan 0-3 oleh JDT pada Sabtu.

Dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di hadapan lebih 20,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu, Kelantan pada hakikatnya tidak dapat menterjemahkan permainan berkualiti, malahan seperti terpaku dengan kehebatan JDT.

Mereka ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama kepada jaringan Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad sebelum lawan menambah satu jaringan menerusi Leandro di babak kedua.

Advertisements

“Kalau tengok keputusan memang sedikit kecewa, tapi kita boleh nampak kualiti JDT dan cuba memberi tentangan. Kita melepaskan dua gol yang tidak sepatutnya kita lepaskan, tapi secara keseluruhan dengan pemain serta kualiti yang kita ada, kita telah berikan yang terbaik,” ujar Rezal Zambery selepas perlawanan.

Rezal Zambery juga mengakui percaturan dan strategi asalnya terpaksa diubah berikutan kecederaan dialami Fazrul Amir serta kegagalan pemain import Kenta Hara untuk memainkan peranan dengan berkesan.

“Kita tak menjangka Fazrul akan alami kecederaan terlalu awal, lagipun bagi saya di barisan depan kita cuma ada Fazrul dan Jasmir Mehat yang boleh buat sesuatu.

Advertisements

“Bila dia keluar terlalu awal, perancangan berubah, kita terpaksa bermain lebih defensif apatah lagi lawan kita adalah JDT, itu yang saya masukkan Felipe (Hereda) dan kemudiannya terpaksa mengeluarkan Kenta Hara, bukan kerana cedera, tetapi dia tak berapa menyumbang di serangan.

“Separuh masa kita dah kena dua gol, babak kedua kita taknak kena lagi banyak. Jadi dengan kemasukan Felipe itu juga dapat menguatkan tengah dan pertahanan,” tambahnya lagi.

Mengenai kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi timbal balik, Rezal berkata apa yang penting adalah ketenangan ketika memegang bola.

Advertisements

“Sebenarnya saya dah ingatkan beberapa kali, kita cepat hilang bola dan terlalu gopoh untuk melakukan serangan. Kita merancang nak cipta peluang melalui serangan balas, tapi bila ramai naik, mereka serang balik, kita jadi gopoh, saya tak nampak ketenangan malam ini, ini antara perlu diperbaiki,” jelas Rezal.

Aksi kedua antara kedua-dua pasukan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 November nanti.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram