Kenyataan Paulo Josue Disalah Erti Di Vietnam?
MakanBola
Malaysia NT

Kenyataan penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue selepas meledak jaringan ketika aksi persahabatan menentang Cape Verde tempoh telah disalah erti oleh media di Vietnam.

Media Vietnam telah melaporkan bahawa Paulo Josue berkeyakinan tinggi untuk menjaringkan gol ketika menentang Vietnam bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini.

“Penyerang berusia 36 tahun, Paolo Josue (asal Brazil) mengumumkan bahawa dia akan menjaringkan mata menentang pasukan Vietnam untuk mendapatkan tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027,” lapor Anninh Tu Do.

Sebaliknya Paulo Josue hanya memberikan komen berkenaan aksi Malaysia bertemu Cape Verde selain skuad Malaysia akan cuba sedaya upaya mendapatkan mata ketika bertemu Vietnam.

“Segalanya nampak baik buat kami (Malaysia) untuk beraksi dalam perlawanan itu (menentang Vietnam) dan mendapatkan mata bertemu Vietnam serta berjuang untuk kelayakan (Piala Asia) di Arab Saudi,” jelas Josue seperti dikongsikan Harimau Malaya.

Keyakinan Harimau Malaya semakin membara menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam selepas berjaya mengikat pasukan ke-72 dunia, Cape Verde dengan keputusan 1-1 pada Khamis.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia berjaya menewaskan Vietnam di peringkat antarabangsa adalah pada Disember 2014 yang mana menyaksikan Malaysia menang 4-2 dalam kejohanan Piala AFF.