Kedah Darul Aman telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung realiti semasa pasukan.
Perkara ini dijelaskan oleh Pemilik Saham Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Daud Bakar menerusi satu kenyataan rasmi yang menjelaskan pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan keadaan Sang Kenari.
“Saya telah pun diminta dan dinasihatkan supaya membubarkan KDA FC sejak bulan Januari 2024 namun saya memilih untuk ‘cuba’ meneruskan perjuangan KDA FC.
“Ini kerana ia adalah legasi semua sebagai rakyat Kedah Darul Aman. Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum saya berusaha terlebih dahulu dan alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024 dan kelab dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025.
Beliau juga komited untuk menggunakan segala sumber dan kemampuannya namun pada masa yang sama mengakui masih terdapat pelbagai kekangan.
“Saya komited dan akan menggunakan segala kemampuan serta sumber yang ada sebagai pemegang saham majoriti untuk memastikan kelab ini terus bertahan walaupun dalam serba kekurangan.
“Kemungkinan pemegang-pemegang saham lain tidak mampu untuk menyumbang untuk kelab. Saya tiada pilihan melainkan cuba mendapatkan dana sebanyak mungkin tetapi sudah pasti ianya tidak mencukupi,” katanya kepada KDA FC.
Daud Bakar juga menyeru sebarang bentuk sokongan yang mahu diberikan oleh peminat demi kelangsungan pasukan.
“Kalau anda ingin membantu, sila hubungi kami. Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama, dana, serta sokongan yang mampu membantu KDA FC untuk terus berjuang demi maruah bola sepak negeri Kedah.
“Kami ingin menekankan bahawa pihak KDA FC akan meneruskan penyertaan kami dalam musim ini dengan izin Allah dan usaha akan diteruskan,” tambahnya.
Kedah kini kehilangan tiga tonggak terbaru iaitu Sukhrob, Clayton dan juga pemain pinjaman, Faiz Nasir yang pulang ke Terengganu.