Kepercayaan Nafuzi Zain Terhadap Rahadiazli Tak Pernah Tergugat

Rahadiazli 2 Kepercayaan Nafuzi Zain Terhadap Rahadiazli Tak Pernah Tergugat
Officialterengganufc

Ketua jurulatih skuad Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap memberi kepercayaan terhadap penjaga gol muda Terengganu, Rahadiazli Rahalim walaupun telah melakukan beberapa kesilapan.

Rahadiazli yang dilihat melakukan tindakan kurang tepat apabila keluar dari posisinya hingga memberi peluang terhadap Bergson Da Silva meledak gol ketiga Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala FA di Stadium Nasional, semalam.

Bagaimanapun, Nafuzi menjelaskan kesilapan itu akan membuatkan Rahadiazli lebih matang dan mengambilnya sebagai satu pengalaman untuk membuat keputusan yang rasional dalam apa jua situasi yang dihadapinya. 

“Sebelum ini, dalam aksi Liga Super menentang Ne­geri Sembilan FC (NSFC), Rahadiazli telah me­lakukan kesilapan hingga menyebabkan kekalahan 1-2, tetapi saya tetap menurunkannya,” jelasnya. 

Beliau juga tidak lupa jasa yang diberikan penjaga gol yang berusia 21 tahun apabila ketangkasan beliau menyelamatkan penentuan sepakan penalti dalam perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC. 

“Malah, jasanya juga tidak boleh dilupakan pada aksi separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di mana dia beraksi cemerlang dengan menyelamatkan penentuan sepakan penalti.”

“Namun, harus diakui kesilapan Rahadiazli (untuk gol ketiga) kerana beliau tidak sepatutnya keluar, tetapi apabila meletakkan pemain muda, situasi ini boleh terjadi kerana kekura­ngan pengalaman,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam aksi akhir itu, JDT telah menjulang kejuaraan kedua selepas tahun 2016 apabila menewaskan Terengganu 3-1.