Keputusan tegas First Instance Body (FIB) dan Malaysian Football League (MFL) untuk tak meluluskan permohonan Lesen Kebangsaan Kedah Darul Aman FC dan Perak FC dianggap wajar dan tepat pada masanya.
Tindakan itu sekaligus memberi isyarat bahawa pengurusan kewangan tidak boleh dipandang ringan jika sesebuah kelab mahu kekal bersaing di peringkat tertinggi.
Penganalisis sukan Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim memuji ketegasan yang ditunjukkan oleh kedua-dua badan tersebut dalam memastikan hanya pasukan yang layak diberi lesen.
“Saya mendapati keputusan yang telah diumumkan FIB dan MFL untuk tidak memberikan lesen kepada Perak dan Kedah adalah satu keputusan terbaik apabila mereka telah secara rasminya tidak akan beraksi di Liga Super,” katanya.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan semasak-masaknya dan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan.
Menurutnya, kegagalan kedua-dua kelab melengkapkan dokumen dan menyelesaikan hutang lama menunjukkan kelemahan pengurusan yang tidak boleh dipandang enteng.
“Jadi ini menunjukkan bahawa ketegasan pihak FIB dan MFL adalah bagus dan tepat membuat keputusan kerana kedua-dua kelab itu bukan sahaja tidak menghantar dokumen yang lengkap tetapi rekod mereka juga tidak baik apabila gagal melunaskan hutang-hutang lama,” jelasnya lagi.
Zulakbal turut menyifatkan walaupun Kedah dan Perak adalah pasukan bersejarah, kewangan kukuh perlu menjadi keutamaan untuk menjaga kebajikan pemain.
“Apa yang saya harapkan pasukan Perak dan Kedah boleh bangkit semula dan perlahan-lahan mengorak langkah dengan perancangan lebih baik selepas ini,” ujarnya.
Kegagalan dua kelab itu memberi peringatan bahawa kelayakan bermain di Liga Super bukan sekadar nama besar, tetapi keupayaan mengurus pasukan secara profesional