Advertisements
Keraian Gol Guardiola Rimaskan Pemain Liverpool
EPL
MakanBola
@btsportfootball

Pep Guardiola tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas melihat gol penyamaan Julian Alvarez dalam kemenangan 4-1 Manchester City ke atas Liverpool. Tetapi apa yang menarik perhatian penyokong kedua-dua pasukan ialah keraian golnya dibuat di hadapan bek kiri Liverpool, Kostas Tsimikas.

Sebelum itu, Mohamed Salah meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-17 sebelum Alvarez menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu. Sebaik gol tersebut dijaringkan, bekas jurulatih Barcelona itu menumbuk ke udara dari kawasan teknikal City.

Sambil Guardiola meraikan gol, beliau perasan pemain-pemain simpanan Liverpool termasuk Tsimikas sudah mula keluar untuk memanaskan badan. Apabila bek kiri Greece itu berjalan menghampirinya, bekas pengurus Bayern Munich itu menjerit gembira di hadapannya.

Tetapi pujian harus diberi kepada Tsimikas yang tidak mempedulikan kerenah Guardiola dan terus membuat senaman memanaskan badan. Jurulatih City itu kemudian memeluknya sebentar sebelum bersalaman dengan pemain Reds yang dipinjamkan dari Juventus, Arthur Melo.

Sebaik video insiden tersebut tular di media sosial, ramai wargamaya menganggap Guardiola tidak menunjukkan rasa hormat kepada lawan mereka. Pandangan tersebut turut dipersetujui oleh legenda Manchester United, Rio Ferdinand.

Sambil menunjukkan rasa kagum terhadap ketabahan yang ditunjukkan Tsimikas, Ferdinand menganggap apa yang berlaku itu sebagai provokasi terhadap pasukan pelawat.

“Keraian gol tersebut, saya tak tahu bagaimana (Kostas) Tsimikas menolak pengurus lawan, Guardiola ke tepi,” katanya kepada BT Sport.

City kemudiannya menyumbat tiga gol menerusi Kevin de Bruyne (minit ke-46), Ilkay Gundogan (minit ke-53) dan Jack Grealish (minit ke-74). Yang pasti, keraian tersebut menambah lagi kepedihan kekalahan anak-anak buah Jurgen Klopp hari ini.