Arena bola sepak Vietnam dikejutkan dengan berita lima pemain kelab V. League 1, Hong Linh Ha Tinh ditahan pihak berkuasa kerana kesalahan dadah.
Portal VNExpress melaporkan 10 orang individu termasuk lima pemain berkenaan ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Kesemua 10 individu itu ditahan di sebuah hotel di Ha Tinh. Menurut pihak berkuasa Vietnam, kegiatan 10 individu itu telah diperhatikan untuk satu tempoh yang lama sebelum penahanan dibuat.
Lima pemain tersebut ialah Dinh Thanh Trung, Nguyen Trung Hoc, Duong Quang Tuan, Nguyen Ngoc Thang dan Nguyen Van Truong.
Dua nama dilihat menonjol ialah Thanh Trung dan Ngoc Thang. Thanh Trung yang berstatus pemain veteran pernah menjulang kejuaraan V. League 1 pada 2017 bersama Quang Nam dan dipilih sebagai pemain terbaik pada musim sama.
Sementara Ngoc Thang pula merupakan tonggak skuad Vietnam Bawah 23 Tahun (B-23) yang bersaing dalam Piala Asia B-23 2024 di Qatar.
Susulan itu, Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengumumkan kelima-lima pemain itu dikenakan penggantungan sehingga keputusan siasatan dimuktamadkan.
Jurulatih Ha Tinh, Nguyen Thanh Cong menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran yang mahal buat pasukan itu.
“Semuanya sama, ini bola sepak profesional dan kita semua orang dewasa. Kita tahu apa yang lebih penting.
“Bagi kita, pasukan yang paling penting. Ini sama dengan mana-mana kelab. Perkara paling penting masih lagi pasukan. Mana-mana individu yang melanggar peraturan akan dihukum kelab.
“Ini satu pengajaran yang mahal buat kami dan pasukan-pasukan lain,” katanya seperti yang dilaporkan TheThao 247.
Ha Tinh juga dilaporkan bertindak membatalkan kontrak semua pemain terbabit sebelum perlawanan menentang Binh Dinh semalam.