Pemain pertahanan kanan Sabah FC, Rizal Ghazali menampilkan aksi berkualiti dalam kemenangan tipis Sabah ke atas Sarawak United 1-0 tempoh hari.
Walaupun beraksi di gelanggang lawan, Rizal dilihat tiada masalah untuk mempamerkan tahap permainan yang memuaskan. Rizal beraksi penuh 90 minit dalam perlawanan tersebut.
Rizal sebelum ini sangat sinonim dengan ketahanan fizikal yang baik apabila mencabar lawan, dan kelebihan yang dimiliki itu masih kekal dan tidak sedikit pun pudar.
Bekas pemain Kedah Darul Aman FC ini menyertai Sabah FC musim ini bersama sahabatnya yang juga dari kelab yang sama iaitu Baddrol Bakhtiar. Sehingga kini, Rizal sudah diturunkan empat kali bersama Sabah FC dan mengumpul sebanyak 360 minit permainan.
Bulan lalu, Rizal mengejutkan banyak pihak apabila menolak panggilan ke skuad kebangsaan untuk siri perlawanan persahabatan di Singapura. Namun segalanya telah selesai selepas FAM menerima surat penjelasan dari Rizal yang dikatakan mempunyai masalah keluarga.
Dalam siri perlawanan persahabatan di Singapura bulan lepas, Pan-gon membawa dua pemain pertahanan kanan iaitu Dion Cools dan Quentin Cheng. Dengan prestasi terkini yang dipamerkan Rizal bersama Sabah FC, tidak mustahil nama beliau bakal menjadi salah satu nama pemain pertahanan kanan yang berada dalam perancangan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Mari kita saksikan video aksi ‘kereta kebal’ Rizal Ghazali dalam perlawanan menentang Sarawak United tempoh hari.