Kegusaran yang dirasai oleh ketua jurulatih PSM Makassar, Bernando Tavares sebelum berdepan Terengganu ternyata bertukar menjadi realiti.
Terdahulu, dalam sesi sidang media pra perlawanan, Tavares berkata 4 pemain Terengganu bakal menjadi ancaman buat anak buahnya antaranya adalah ketua pasukan, Safawi Rasid.
“Saya fikir mereka (Terengganu milik) pemain-pemain yang baik. Nombor 23 (Azam Azmi), nombor 11 (Safawi), nombor 33 (Akhyar) dan nombor 22 (Engku Shakir) jika bermain,” ujar Bernando Tavares.
Malah, Tavares turut melihat kelibat pemain dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov juga memiliki kualiti yang hebat sebagai tonggak import di bahagian tengah bersama Manuel Ott.
”Mereka juga memiliki tonggak import yang berkualiti dari Filipina (Manuel Ott) dan Uzbekistan (Nurillo Tukhtasinov).”
Ternyata, kehadiran dua pemain bintang ini menjadi watak penting buat Terengganu pada aksi di Gong Badak dengan Tukhtasinov berjaya mendapatkan sepakan penalti di minit ke-64.
Sepakan yang dilakukan oleh Tukhtasinov telah mengenai tangan pemain PSM Makassar, Ananda Raehan memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat Terengganu.
Tugas tersebut mudah disempurnakan oleh ketua pasukan, Safawi Rasid yang dengan tenang menewaskan Reza Arya bagi memastikan anak didik Bernando Tavares pulang tanpa mata.
Di akhir perlawanan, Tukhtasinov turut diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan setelah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang 90 minit permainan untuk skuad Sang Penyu.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan A akan menyaksikan Terengganu bertandang ke laman BG Pathum manakala PSM melayani kunjungan Thanh Hoa di gelanggang sendiri pada 5 Februari.