Kerjasama Ryt Bank–MFL Isyarat Era Digital Baharu Bola Sepak Malaysia
MakanBola
MFL

Ryt Bank merupakan bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan kini secara rasmi menjadi Rakan Perbankan Digital Rasmi Liga Malaysia dan Rakan Rasmi Teknologi VAR Liga Malaysia sebagai menandakan satu revolusi baharu dalam industri bola sepak.

Kerjasama strategik ini menandakan usaha bersama antara dunia kewangan digital dan industri bola sepak tanah air yang bakal menyaksikan gabungan teknologi, inovasi dan semangat nasional untuk memacu Liga bola sepak di Malaysia melangkah ke depan bersama-sama.

Menurut Presiden Malaysian Football League (MFL) Dato’ Ab Ghani Hassan, kolaborasi pertama di antara MFL dan bank digital Ryt Bank memberi mesej jelas bahawa kita semua berkongsi aspirasi sama untuk melonjakkan lagi martabat liga profesional negara.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran Ryt Bank sebagai sebahagian daripada keluarga MFL. Perkongsian ini mencerminkan arah baharu Liga Malaysia yang lebih moden, profesional dan berpaksikan inovasi.

Tambah Dato’ Abd Ghani Hassan, beliau percaya melalui kerjasama ini syarikat-syarikat tempatan di Malaysia dapat mempromosikan perniagaan ke rakyat dengan lebih jelas dan mampu mengukuhkan lagi industri bola sepak Malaysia.

“Kami juga percaya melalui Kerjasama strategik bersama Ryt Bank ini, ia memberi mesej jelas bahawa Liga Malaysia terus menjadi destinasi buat syarikat-syarikat korporat dalam membina dan mendekatkan jenama mereka dengan rakyat Malaysia.”

“Kerjasama ini turut menyuntik semangat baharu MFL sebagai pengelola liga bola sepak profesional negara untuk mengukuhkan lagi tahap pengurusan dan daya saing Liga Malaysia agar dapat menarik minat lebih banyak penyertaan syarikat korporat dalam menyokong pembangunan bola sepak tanah air khususnya Liga Malaysia,” kata Presiden Malaysian Football League (MFL) Dato’ Ab Ghani Hassan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi, bola sepak mampu merapatkan semua golongan di Malaysia dan beliau bangga Ryt Bank menjadi rakan teknologi VAR rasmi.

“Dengan reputasi sebagai bank pertama di dunia berasaskan teknologi AI, Ryt Bank berbangga menyokong komuniti sukan terbesar negara, sekali gus meraikan semangat dan kebanggaan nasional.”

“Bola sepak menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Semangat ini seiring dengan aspirasi Ryt Bank untuk menjadikan teknologi kewangan lebih inklusif dan bermakna.”

“Sebagai rakan teknologi VAR rasmi, kami berbangga dapat menyokong ketelusan dan keadilan dalam sukan yang paling dekat di hati rakyat.”

Tambah beliau, kerjasama ini menyakinkan bahawa kita semua mampu memberikan sumbangan yang baik kepada sukan dalam negara.

“Kerjasama ini membuktikan bahawa apabila teknologi dan semangat rakyat bergabung, kita semua mampu untuk buat perkara yang betul (do the Ryt thing) — untuk sukan dan negara,” kata Melvin Ooi, Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, ketika mengulas mengenai kerjasama ini.

Melalui produk seperti Ryt AI, Simpanan dengan faedah harian yang tinggi, Ryt Card, dan Ryt PayLater, Ryt Bank membina penyelesaian kewangan yang disesuaikan dengan rentak kehidupan sebenar rakyat Malaysia.

Seterusnya, banyak manfaat dari kerjasama ini seperti pelbagai aktiviti menarik turut akan diadakan di stadium terpilih sepanjang aksi Liga Super di stadium tertentu bagi mendekatkan lagi hubungan dengan penyokong-penyokong sukan ini di tanah air. Selain itu, memberikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami mengenai perbankan digital.

Claim Money Packet TnG